BISNES – BERI PELUANG KOPERASI JALANKAN PERNIAGAAN AP

PUTRAJAYA, 22 Feb — Sektor koperasi seharusnya turut diberi peluang bagi mendapatkan permit atau lesen import (AP) untuk kenderaan asing, kata Pengerusi Koperasi Profesional Putrajaya Bhd (Koprojaya) Mohd Arif Adenan.

Beliau berkata pengumuman Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengekalkan permit AP dalam Dasar Automotif Negara 2020 (NAP 2020) semalam dilihat sebagai peluang ekonomi untuk sektor tersebut.

“Ini adalah masanya apabila AP ini diteruskan tidak semestinya mesti diteruskan denga cara lama. Jadi kita berharap agar kerajaan boleh melihat semula pemberian AP agar turut ditawarkan kepada koperasi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis perasmian Mesyuarat Agung Koprojaya Tahun 2019/2020 oleh Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Mohd Zuki Ali di sini hari ini.

Katanya, sebagai contoh Koprojaya mempunyai aset dan kewangan sekitar RM14 juta, dan jika diberi AP pihaknya yakin mampu menjalankan perniagaan berkenaan melalui kepakaran yang dimiliki oleh anggota-anggota koperasi.

Koprojaya mempunyai keanggotaan kira-kira 2,000 orang yang terdiri daripada penjawat awam muda yang memiliki pendidikan Ijazah Sarjana Muda dan ke atas.

Dalam pada itu, Koprojaya merancang untuk membuka pusat pengedaran barangan asas di Putrajaya pada pertengahan tahun ini dalam usaha membantu menyediakan keperluan barangan dengan harga patut kepada penduduk di kawasan sekitar.

“Hasrat Koprojaya adalah untuk menjadikan Putrajaya sebagai contoh pelaksanaan dasar-dasar kerajaan seperti tempat barangan harga patut yang dapat dijalankan dengan baik yang kemudian akan dapat dikembangkan ke tempat-tempat lain,” katanya.

Pusat pengedaran itu akan diusahakan secara dalam talian yang mana pelanggan akan menempah barangan asas mereka melalui internet dan kemudian akan mengambil barangan mereka pada waktu yang ditetapkan atau pun menggunakan servis penghantaran terus ke rumah.

— BERNAMA