Seorang jururawat menunjukkan kit ujian cepat antibodi untuk COVID-19 di hospital Tor Vergata Covid di Rome, semasa penahanan negara itu bertujuan untuk menghentikan penyebaran jangkitan COVID-19, yang disebabkan oleh novel coronavirus. – Foto AFP

COVID-19: PENYELIDIK ITALI DAKWA BERJAYA HASILKAN VAKSIN BENDUNG WABAK

ROME: Pasukan penyelidik Itali mendakwa berjaya mengembangkan vaksin yang dapat membantu membendung coronavirus yang menyebabkan jangkitan COVID-19.

Mengikut laporan Timesnownews.com, menyatakan bahawa vaksin baharu itu berkemungkinan akan berfungsi terhadap virus SARS-CoV-2 yang menular dengan cepat di seluruh dunia.

Ujian yang dilakukan pada tikus menunjukkan bahawa vaksin itu mempunyai antibodi yang berfungsi pada sel manusia, seterusnya menghalang virus daripada menjangkiti orang ramai.

BACA ARTIKEL: Khabar gembira buat frontliner! KKM beri cuti rehat lepas 5 bulan berjuang

Pasukan penyelidik seterusnya membuat pemerhatian bahawa lima calon vaksin menghasilkan sebilangan besar antibodi, dan memilih dua daripadanya yang mempunyai hasil terbaik.

Perkembangan baharu oleh penyelidik di Institut Nasional Lazzaro Spallanzani untuk Penyakit Berjangkit di Rom itu adalah di antara kemajuan paling ketara di antara ratusan eksperimen vaksin yang diuji di seluruh dunia dalam usaha untuk membendung penyakit pernafasan berkenaan.

Setakat ini, sekurang-kurangnya 254,532 orang meninggal akibat COVID-19 sejak pertama kali muncul di China pada Disember tahun lalu, dengan lebih daripada 3,629,160 kes disahkan di 195 negara dan wilayah.

Laporan Arab News memetik Ketua Pegawai Eksekutif Takins iaitu firma yang mengembangkan vaksin itu, Luigi Aurisicchio, berkata calon vaksin coronavirus meneutralkan virus dalam sel manusia untuk kali pertama.

“Ini adalah tahap pengujian vaksin calon yang paling maju yang dibuat di Itali … Ujian terhadap manusia dijangka selepas musim panas ini.

“Seperti ujian yang dilakukan di Hospital Penyakit Berjangkit Spallanzani, vaksin ini mempunyai antibodi yang dihasilkan pada tikus yang berfungsi pada sel manusia.

“Sejauh yang kami tahu, kami adalah yang pertama di dunia sejauh ini yang menunjukkan peneutralan terhadap coronavirus oleh vaksin. Kami jangka ini akan berlaku pada manusia juga,” kata Aurisicchio kepada agensi berita Itali, ANSA.

Menurut laporan itu, semua calon vaksin yang sedang dihasilkan adakah berdasarkan kepada bahan genetik lonjakan protein DNA.Calon vaksin disuntik dengan teknik “electroporation”, yang terdiri daripada suntikan intramuskular diikuti dengan dorongan elektrik yang singkat, bagi membantu vaksin masuk ke dalam sel dan mengaktifkan sistem imun.

Penyelidik berkata, ia menjadikan vaksin sangat berkesan untuk menghasilkan antibodi yang berfungsi terhadap protein, khususnya pada sel-sel paru-paru, yang paling terdedah kepada coronavirus.

Pasukan penyelidik berkata, mereka berharap dapat menguji vaksin berkenaan pada manusia selepas musim panas. – AGENSI

Sumber: BH Online